TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO
DI MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN WANITA, PEMUDA
DAN PUTERI UMNO 2014
“MEREKAYASA PERUBAHAN
MENDEPANI ZAMAN”
Bismillahirrahmanirrahim.
اللَّهُمَّ
صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدِ،
الْفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ وَالْخَاتِمِ
لِمَا سَبَقَ، نَاصِرِ الْحَقِّ
بِالْحَقِّ، وَالْهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ الْمُسْتَقِيْمِ
وَعَلىَ آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ
وَمِقْدَارِهِ العَظِيْمِ .
Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, salam
sejahtera dan salam 1Malaysia.
YB Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
Ketua Pergerakan Wanita
YB Sdr. Khairy Jamaluddin
Ketua Pergerakan Pemuda
YB Sdri. Mas Ermieyati Samsudin
Ketua Pergerakan Puteri
YB Naib-Naib Presiden UMNO
YB Setiausaha Agung UMNO
Ahli-ahli Majlis Tertinggi
Barisan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri
Saudara-saudari sidang perwakilan, dif-dif jemputan dan para
pemerhati sekalian
1.Alhamdulillah, puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t.
serta selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w., malam ini saya
dan saudara-saudari semua yang mewakili Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri
UMNO dari seluruh pelusuk negara, dapat sekali lagi berhimpun di Dewan Merdeka
ini untuk mempertegaskan matlamat perjuangan parti kita, memperkukuhkan perpaduan
dan merencana masa depan bangsa Melayu. Saya mengucapkan terima kasih kepada
wanita, pemuda dan puteri UMNO kerana terus istiqamah berada dalam saf
perjuangan parti kita.
Hebatnya Hang Tuah sehingga kini,
Kisahnya menjadi bualan zaman,
Jiwa pejuang takkan terhenti,
Selagi nyawa di kandung badan.
SEJARAH PERJUANGAN UMNO
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
2.Parti kita UMNO telah mencapai usia 68 tahun. Telah banyak
ranjau yang kita lalui dalam pelbagai keadaan, pelbagai cabaran dan pelbagai
zaman. Kita telah melalui pasang surut asakan terhadap perjuangan kita.
Alhamdulillah, walaupun kita diasak dan diterjah dengan pelbagai dugaan, Allah
masih memberikan kemenangan kepada UMNO. Allah masih mentakdirkan UMNO memikul
amanah kuasa pemerintahan ini. Namun, jangan kita lupa, jangan kita alpa. Allah
juga menggilirkan kemenangan antara sesama manusia sebagai pengajaran kepada
kita semua. Sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali-Imran Ayat 140:
إِن يَمۡسَسۡكُمۡ قَرۡحٌ۬ فَقَدۡ مَسَّ
ٱلۡقَوۡمَ قَرۡحٌ۬ مِّثۡلُهُ ۥۚ وَتِلۡكَ ٱلۡأَيَّامُ
نُدَاوِلُهَا بَيۡنَ ٱلنَّاسِ وَلِيَعۡلَمَ
ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَيَتَّخِذَ مِنكُمۡ شُہَدَآءَۗ
وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ
Yang bermaksud:
Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera),
maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera
juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar) dan demikian itulah
keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau
kekalahan), Kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi
pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang
tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan
sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid dan (ingatlah), Allah
tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
3.Inilah sunnatullah. Allah s.w.t. menggilirkan kemenangan
dan kekalahan sesama manusia. Hatta antara kaum muslimin dan musyrikin pun,
Allah menggilirkan kemenangan dan kekalahan sebagai peringatan kepada
orang-orang yang beriman. Maka, dalam konteks UMNO, kemenangan yang kita
perolehi dalam mana-mana pilihanraya tidak boleh menjadikan kita angkuh,
sombong dan selesa. Cabaran terhadap perjuangan kita masih hebat, jalan yang
perlu kita lalui masih berliku, ranjau di hadapan kita masih berduri. Maka,
dalam perhimpunan kali ini, saya ingin mengajak saudara dan saudari supaya
ikhlas dan jujur dengan diri kita sendiri. Kaji adakah parti kita berada dalam
keadaan yang selamat? Adakah parti kita disenangi oleh sebahagian besar rakyat?
Adakah parti kita bakal beroleh kemenangan dalam pilihanraya akan datang?
4.Saudara-saudari, jika kita himbau kembali sejarah
penubuhan UMNO dalam konteks dunia pada waktu itu, UMNO berada di tengah-tengah
kancah pertembungan antara fahaman nasionalis, fahaman komunis dan fahaman sosialis.
Namun, UMNO berjaya membina identiti perjuangannya sendiri di atas semangat
kebangsaan Melayu yang berteraskan Islam. Pada ketika itu juga, nasionalisme
merupakan ideologi utama yang menggerakkan parti-parti politik di negara-negara
tanah jajahan bangkit menentang penjajah. Alhamdulillah, berkat perjuangan
UMNO, negara kita berjaya mencapai kemerdekaan.
5.Pada masa yang sama, sebagai sebuah parti yang toleran dan
sederhana, UMNO berjaya merintis kerjasama dengan parti-parti yang mewakili
kaum-kaum lain di negara kita untuk membina sebuah negara bangsa. Sebagai
kerajaan pula, parti kita UMNO menerusi Perikatan dan kemudiannya Barisan
Nasional telah berjaya mengekalkan kestabilan politik dan memacu kemajuan
ekonomi dengan cara kita sendiri. Sehingga beberapa dekad yang lalu, UMNO
adalah sinonim dengan sebuah ceritera kejayaan; ceritera sebuah negara yang
aman dan stabil di sebalik kepelbagaian kaum dan agama. Hasil perjuangan UMNO,
negara kita telah berganjak daripada sebuah negara miskin sewaktu merdeka
kepada negara industri yang insya-Allah akan menjadi negara maju dalam beberapa
tahun lagi di bawah gagasan besar Wawasan 2020.
CABARAN PERUBAHAN ZAMAN
6.Namun, suasana politik hari ini sudah banyak berubah. Di
seluruh dunia, nasionalisme bukan lagi ideologi utama. Malah, banyak parti
nasionalis yang memperjuangkan kemerdekaan negara masing-masing telah berkubur.
Selepas era perang dingin, liberalisme telah muncul sebagai ideologi yang
dominan di seluruh dunia. Di bawah lembayung ideologi baharu ini, idea-idea
Barat mengenai demokrasi, kebebasan dan kesamarataan tersebar secara meluas,
termasuk di negara-negara Asia. Sama ada kita sedar atau tidak, kebangkitan
gerakan demokrasi liberal dan masyarakat sivil yang memperjuangkan kebebasan
dan kesamarataan mengikut neraca Barat telah memberi kesan yang besar kepada
perjuangan UMNO.
Memperteguh Kedudukan Istimewa Melayu dan Bumiputera
7.Hari ini, banyak pertubuhan dan individu yang sama ada
secara langsung atau tidak langsung mempersoalkan hak keistimewaan Melayu,
kedudukan istimewa agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu dan
lain-lain lagi yang merupakan teras perjuangan UMNO. Apabila UMNO bersuara
membela kepentingan Melayu, mereka kata UMNO rasis. Tetapi apabila kaum-kaum
lain bangkit memperjuangkan hak kaum masing-masing, itu dikatakan hak kumpulan
minoriti dalam sebuah negara demokrasi. Sama juga, apabila UMNO bangkit
mempertahankan kedudukan Islam, UMNO dikatakan ekstrem, walhal Islam adalah
Agama Persekutuan. Tetapi apabila kepentingan kumpulan agama lain
diperjuangkan, itu dikatakan hak kebebasan beragama. Hari ini, perkara-perkara
penting yang termaktub di dalam perlembagaan yang melindungi hak semua kaum
secara saksama semakin dipersoalkan.
8.Suara kumpulan penentang ini semakin lantang sehingga
kedengaran di forum-forum antarabangsa. Mereka menuduh UMNO mengamalkan
diskriminasi dan zalim terhadap rakyat. Ini amat pelik bagi saya. UMNO yang
dahulunya berjuang bermati-matian untuk membebaskan rakyat daripada cengkaman
penjajah; UMNO yang memperjuangkan keadilan sosial; UMNO yang mempelopori
politik kesederhanaan; hari ini, dalam zaman kebebasan ini, UMNO dituduh
sebagai parti yang zalim, parti yang menindas, parti yang menjajah rakyat.
Pendek kata, segala yang buruk dan keji itu adalah UMNO. Seolah-olah tiada
setitik pun jasa UMNO kepada negara. Kebaikan yang ditabur ditutupi oleh
debu-debu pembohongan, fitnah dan propaganda jahat. Demikianlah zaman telah
berubah, pola fikir masyarakat telah berubah, cabaran kepada UMNO juga berubah.
Agenda Ekonomi Bumiputera dan Merapatkan Jurang
Ketidaksaksamaan Adalah Agenda Nasional
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
9.Perubahan juga berlaku dalam bidang ekonomi. Dahulu,
pembangunan negara kita digembeleng oleh kerajaan. Kuasa kerajaan membolehkan
kita melaksanakan program penstrukturan semula masyarakat menerusi Dasar
Ekonomi Baru. Melalui dasar ini juga kita telah berjaya mengeluarkan masyarakat
daripada belenggu kemiskinan dan menangani penguasaan ekuiti asing dalam
ekonomi negara. Kita juga menetapkan sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera
sebanyak 30 peratus sekurang-kurangnya, dan penyertaan Bumiputera digalakkan
dalam setiap sektor ekonomi. Dasar ini dibentuk agar ekonomi berkembang dan
pengagihan berlaku secara adil dan saksama. Atas sifat bertimbang rasa dan
semangat supaya kek ekonomi dapat dirasai oleh semua rakyat Malaysia, orang
Melayu dan UMNO pada waktu itu tidak bersifat keterlaluan untuk meminta lebih
daripada 30 peratus.
10. Walaupun sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera tidak
tercapai, namun Alhamdulillah, DEB telah berjaya mengagihkan kekayaan negara
kita secara lebih saksama serta meningkatkan pendapatan kaum Bumiputera dan
bukan Bumiputera. Tuduhan bahawa DEB kononnya satu dasar keterbelakang,
menyekat pelaburan, menyebabkan brain drain dan hanya menguntungkan segelintir
pihak yang ada kabel politik adalah tidak benar. Bagi saya, tuduhan meleset ini
hanya dicipta oleh mereka yang sarat dengan kebencian. Banyak kajian ilmiah
yang menunjukkan bahawa semua kaum mendapat manfaat daripada pelaksanaan DEB.
Ini termasuk kajian mutakhir Dr Muhammed Abdul Khalid yang diterbitkan di dalam
bukunya the Color of Inequality yang membuktikan bahawa DEB telah memberi
manfaat kepada semua kaum dari segi pembasmian kemiskinan, peningkatan pendapatan,
peluang pekerjaan, pemilikan ekuiti dan lain-lain. DEB telah mencapai
sebahagian matlamat pengagihan ekonomi dan menyamaratakan peluang. Namun,
masalah ketirisan memberikan kesan negatif kepada pencapaian matlamat asal DEB
yang disasarkan oleh kepimpinan UMNO terdahulu.
11. Namun begitu, 24 tahun selepas pelaksanaan DEB berakhir,
kita kembali mendengar keluh kesah dan gundah-gulana masyarakat Melayu. Dalam
era pasca DEB, data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia untuk tahun 2013
menunjukkan bahawa jurang ekonomi antara kaum masih wujud. Misalnya, median
pendapatan bulanan isi rumah Bumiputera sebanyak RM3,282 masih rendah
berbanding kaum Cina, iaitu RM4,643 dan kaum India sebanyak RM3,676. Dalam
kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah, 75.5% adalah Bumiputera. Pemilikan
hartanah dalam kalangan Bumiputera juga masih jauh lebih rendah berbanding
kaum-kaum lain. Hanya 36.3% transaksi bangunan hartanah kediaman melibatkan
Bumiputera. Pemilikan hartanah bangunan industri dan perdagangan Bumiputera
juga rendah iaitu 2.37% bagi hartanah industri dan 7.85% bagi hartanah
perdagangan.
12. Begitu juga, satu kebenaran yang pahit untuk kita akui
ialah kaum Bumiputera masih menerima layanan yang tidak saksama dalam sektor
swasta. Kajian yang dilakukan oleh Dr Lee Hwok Aun dan Dr. Muhammed Abdul
Khalid pada tahun 2012 mendapati bahawa bagi setiap seorang graduan Melayu yang
dipanggil temu duga dalam sektor swasta, secara puratanya 5.3 graduan Cina
ditemu duga, walaupun mereka mempunyai kelulusan yang sama. Data rasmi juga
menunjukkan kadar pengangguran adalah tertinggi dalam kalangan tenaga kerja
Bumiputera iaitu 70.3%, termasuk graduan menganggur sebanyak 66.9%. Kita juga
sering mendengar keluhan pekerja Bumiputera yang menerima gaji lebih rendah
berbanding kaum-kaum lain dalam sektor swasta. Pakar ekonomi Just Faaland, J.R
Parkinson dan Rais Saniman membuktikan dalam buku mereka Growth and Ethnic
Inequality: Malaysia’s New Economic Policy, bahawa pekerja Bumiputera menerima
gaji 20 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding bukan Bumiputera.
13. Secara umumnya, kedudukan ekonomi orang Melayu hari ini
masih meruncing. Ketidaksaksamaan dalam masyarakat agak menggerunkan kita. Pada
masa yang sama, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam meneruskan agenda
ekonomi Melayu. Kita bersaing dalam ekonomi yang lebih terbuka. Kita berhadapan
dengan fahaman kesamarataan yang menentang sebarang pelaksanaan agenda Melayu.
Menerusi pelbagai instrumen perjanjian perdagangan bebas antarabangsa, negara
kita didesak supaya jangan lagi mengamalkan dasar untuk melindungi kepentingan
kaum Bumiputera. Kononnya, dasar seperti ini merupakan penghalang kepada
pembangunan ekonomi dan merencatkan pasaran. Padahal, dasar ini pernah
digunakan oleh negara maju lebih setengah abad sebelum mereka mencapai tahap negara
maju.
14.Kita sebenarnya sedang menongkah arus kapitalisme global
dan ideologi pasaran bebas yang semakin melebarkan jurang ketidaksaksamaan.
Seperti yang diakui oleh pemenang hadiah nobel ekonomi Joseph Stiglitz dalam
bukunya The Price of Inequality, dasar ekonomi yang berasaskan teori dan
ideologi yang salah telah memburukkan keadaan ketidaksaksamaan dalam masyarakat
di seluruh dunia, termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat.
14. Saya fikir sudah sampai masanya kita menilai kembali
model ekonomi negara kita. Ya, benar pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 6.3%
adalah antara yang tertinggi di Asia; nilai pelaburan langsung asing sebanyak
RM216.5 bilion pada tahun 2013 adalah antara yang terbaik dalam sejarah;
kedudukan Malaysia dalam Laporan Dayasaing Global 2014 meningkat daripada
nombor 24 ke nombor 20 daripada 148 buah negara. Semua ini menunjukkan bahawa
pencapaian ekonomi negara kita amat memberangsangkan dan kita berada pada
landasan yang betul untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi pada tahun
2020.
15. Tetapi di sebalik semua pencapaian ini, Yang Amat
Berhormat Presiden dan saya selaku Timbalan sering memikirkan adakah kita boleh
memejamkan mata dan memekakkan telinga dengan tidak berbuat apa-apa jika kaum
Bumiputera yang merupakan 67.4% daripada rakyat negara kita masih berada dalam
kumpulan berpendapatan rendah; jika 4 juta daripada 6.5 juta pekerja yang
mencarum dalam KWSP di negara kita berpendapatan kurang RM2,000 sebulan; jika
jurang ketidaksaksamaan di negara kita antara yang tertinggi di rantau ini;
jika rakyat masih tidak mampu memiliki rumah sendiri.
16.Mengenai isu perumahan, ada ahli UMNO di akar umbi yang
mengatakan kepada saya, rumah-rumah yang dibina dengan harga RM400,000
sebenarnya bukan rumah mampu milik, tetapi rumah mampu tengok sahaja. Pandangan
ini ada juga kebenarannya. Menurut Kajian Khazanah Research Institute, harga
rumah mampu milik yang sewajarnya adalah 3 kali median pendapatan isi rumah,
iaitu bagi kumpulan pendapatan isirumah 40% terbawah dengan harga RM70,000 dan
kumpulan berpendapatan sederhana pada harga RM160,000 atau pada purata harga
RM130,000. Rumah-rumah yang dibina dengan harga yang terlalu mahal, terutamanya
di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar, sudah tentulah tidak mampu dibeli
oleh rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.
16. Saudara-saudari, persoalannya nanti, ketika negara kita
mencapai sasaran Pelan Transformasi Ekonomi dengan nilai GNI RM1.7 trillion,
dengan pendapatan perkapita RM48,000, dengan penambahan 3.3 juta pekerja
berkemahiran dan RM1.4 trillion pelaburan daripada sektor swasta dan kerajaan,
berapakah daripada jumlah sasaran ini akan turun mengalir menjadi milik kaum
Bumiputera? Dalam keghairahan kita meletakkan sasaran besar untuk mencapai
status negara berpendapatan tinggi, kita juga harus menetapkan sasaran yang
jelas untuk kaum Bumiputera dan memastikan kekayaan negara kita dapat diagihkan
kepada semua rakyat baik di kota mahupun di desa, di semenanjung mahupun di
Sabah dan Sarawak, baik kumpulan berpendapatan tinggi mahupun kumpulan
pertengahan dan 40% terbawah, semuanya – kulluhum ajma’in - perlu dipastikan
mendapat peluang yang adil dan saksama.
17. Saudara-saudari, kita sebenarnya amat memerlukan satu
model ekonomi yang benar-benar dapat memastikan pertumbuhan disertai dengan
pengagihan yang saksama. Kita tidak boleh membiarkan majoriti rakyat negara
kita terpinggir dan tersisih daripada arus kemajuan ekonomi negara. Apatah
lagi, ketidaksaksamaan dalam masyarakat kita hari ini bukan lagi merupakan
masalah kaum semata-mata, tetapi juga masalah kelas. Kita sedang menghadapi
masalah jurang yang besar antara golongan kaya dan golongan miskin, jurang
antara etnik dan intra etnik,jurang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak,
jurang antara masyarakat bandar dan luar bandar, jurang antara CEO, pengurusan
kanan syarikat dan pekerja bawahan. Semua ini jika dibiarkan berterusan
akhirnya akan menjejaskan pencapaian ekonomi negara kita secara keseluruhan.
18. Sebagai mewakili suara orang Melayu dan Bumiputera, saya
ingin tegaskan supaya pendekatan, dasar dan strategi yang lebih berkesan untuk
merapatkan jurang kaum dan kelas dilaksanakan segera. Kita perlu memberikan
tumpuan dan keutamaan kepada program latihan peningkatan kemahiran pekerja
Bumiputera, memperbaiki mekanisme subsidi, menangani diskriminasi dalam sektor
pekerjaan, memperkemaskan perundangan, pengawalan dan penguatkuasaan terhadap
pekerja asing, memperkenalkan dasar mengenai peningkatan dan pengawalan
pendapatan pekerja, menambah mekanisme percukaian yang lebih berstruktur
(targeted), meningkatkan insentif bagi membantu keluarga menambah kekayaan,
menyediakan ekosistem kondusif kepada pelajar luar bandar dan miskin bandar,
menekankan semula pembangunan luar bandar, memperluaskan jaringan keselamatan
sosial, dan menyasarkan tindakan afirmatif berdasarkan keperluan (need-based)
khusus untuk kumpulan isi rumah 40% terbawah tanpa mengira kaum. Jangan ada
mana-mana pihak yang cuba mempersoalkan tindakan pembetulan ini sebagai agenda
perkauman. Ini adalah agenda negara.
19. Oleh itu, kita perlu menjadikan Agenda Bumiputera
sebagai Agenda Nasional, bukan agenda kaum. Majlis Ekonomi Bumiputera yang
dipengerusikan oleh YAB Presiden mempunyai peranan penting untuk mengkaji
secara terperinci kedudukan ekonomi Bumiputera, merencana hala tuju masa depan
ekonomi Bumiputera, termasuk memperkukuhkan instrumen dasar, institusi dan
inisiatif memajukan ekonomi Bumiputera. Saya mencadangkan supaya Agenda
Bumiputera serta dasar dan strategi merapatkan jurang ekonomi dijadikan teras
utama Rancangan Malaysia Ke-11 yang merupakan lonjakan terakhir Malaysia untuk
menjadi negara maju. Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional tidak boleh
dilaksanakan secara picisan atau terpisah daripada kerangka besar ekonomi
negara. Ia mesti dilaksanakan secara inklusif, komprehensif dan merentasi semua
sektor ekonomi. Saya juga mencadangkan satu Dasar Ekonomi Nasional yang baharu
dirangka untuk memacu inisiatif kesaksamaan ke hadapan. Apatah lagi,
tanggungjawab merapatkan jurang kaya dan miskin adalah perintah Allah s.w.t.
kepada kita sepertimana firman-Nya dalam Surah Al-Nahl, Ayat 71:
وَٱللَّهُ
فَضَّلَ بَعۡضَكُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٍ۬ فِى
ٱلرِّزۡقِۚ فَمَا ٱلَّذِينَ
فُضِّلُواْ بِرَآدِّى رِزۡقِهِمۡ عَلَىٰ مَا مَلَڪَتۡ
أَيۡمَـٰنُہُمۡ فَهُمۡ فِيهِ سَوَآءٌۚ أَفَبِنِعۡمَةِ ٱللَّهِ
يَجۡحَدُونَ
Yang bermaksud:
“Dan Allah telah melebihkan sebahagian daripada kamu atas
sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakan-Nya dalam pada itu,
orang-orang yang diberi kelebihan itu tidak mahu memberikan sebahagian daripada
kelebihan hartanya kepada hamba-hamba mereka, supaya orang-orang itu dapat sama
mempunyai harta. Maka mengapa mereka tergamak mengingkari nikmat Allah itu
dengan perbuatan syirik?”
Memperkukuhkan Manhaj Wasatiyyah Dalam Menangani Cabaran dan
Ancaman Terhadap Islam
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
20.Kita juga sedang menghadapi pelbagai cabaran baharu dalam
soal agama. Saban hari saya mendengar keluh kesah orang Melayu yang bimbang
dengan kesan faham liberalisme dan sekularisme ke atas aqidah umat Islam. Hari
ini kita banyak mendengar kes-kes pelanggaran syariat yang dilakukan atas nama
kebebasan dan hak asasi. Penghinaan ke atas umat Islam juga dilakukan secara
terbuka. Selain itu, umat Islam juga sedang berhadapan dengan ancaman
ekstremisme dan militanisme yang sekiranya tidak dibendung segera akan memberi
kesan buruk kepada negara.
21.Apa yang lebih membimbangkan ialah wujudnya trend
sekularisasi dalam agama, iaitu agama dilihat dalam neraca ideologi sekular
liberal Barat yang tercabut daripada akar Syariat. Trend ini sedang berkembang
di seluruh dunia. Misalnya, majalah Economist keluaran bulan Oktober yang lalu
memberikan gambaran yang agak mengejutkan mengenai amalan perkahwinan sejenis
yang dilarang oleh syariat Islam dan juga oleh agama-agama lain. Menurut
majalah ini, dalam tahun 1950-an, perkahwinan sejenis tidak diterima di hampir
semua negara di dunia. Namun, dalam tempoh hanya enam dekad, yang disebut
sebagai “the leap forward”, hari ini 113 negara atau 63% daripada keseluruhan
negara di dunia telah mengiktiraf perkahwinan sejenis atas nama menghormati hak
asasi dan kesamarataan.
22.Keadaan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan orang
Melayu dan umat Islam. Mereka bimbang sekiranya gejala sekularisasi agama ini
tidak segera dibendung, maka benteng aqidah dan syariat yang sekian lama
dipertahankan oleh umat Islam akan runtuh dirempuh arus liberalisme. Dalam
konteks perjuangan UMNO, semua ini merupakan cabaran baharu yang tidak pernah
kita lalui sebelum ini. Kalau dahulu kita cuma berhadapan dengan asakan PAS
yang cuba membuktikan siapa lebih Islam. Tetapi hari ini kita berada di luar
kancah perlumbaan ini. Kita sedang berada dalam dunia pasca-moden yang
menganggap agama sebagai penghalang kepada kebebasan manusia. Dalam realiti
hari ini, semakin ramai pula pihak yang cuba membuktikan siapa lebih liberal,
bukan siapa lebih Islam.
23.Saudara-saudari, UMNO sebagai parti tunjang Melayu-Islam
tidak pernah dan tidak akan sesekali meminggirkan agenda memartabatkan Islam
daripada dasar perjuangan kita. Ia sudah lama termateri dalam Perlembagaan UMNO
sebagaimana peruntukan Fasal 3.3 yang menjelaskan bahawa asas dan tujuan UMNO
adalah untuk menegak, mempertahankan dan mengembangkan Islam. Malah sejak 57
tahun kita merdeka, UMNO-lah yang telah banyak membangunkan Islam di negara ini
dalam segenap sektor sama ada pendidikan agama, ekonomi dan kewangan Islam,
pembangunan sosial, pentadbiran mahupun perundangan Syariah.
24. Pendekatan UMNO sejak dahulu, kini bahkan selamanya
berpaksikan kepada orientasi atau manhaj Wasatiyyah. Yang dimaksudkan dengan
Wasatiyyah bukanlah pendekatan yang bersifat ‘al-ghuluw wa ttatarruf fiddīn’
iaitu bersifat melampau dan keras dalam pendekatan beragama hingga terjerumus
kepada perlakuan yang kaku dan beku, dan terbawa-bawa kepada perlakuan militan
yang merosakkan agama. Wasatiyyah juga tidak bersifat ‘al-tasāhul fiddīn’ iaitu
memperlonggar dan mempermudahkan agama hingga ke peringkat liberal yang
menyesatkan.
25. Sebaliknya pendekatan wasatiyyah yang diamalkan UMNO
adalah konsep kecemerlangan dan kesederhanaan umat yang berpaksikan Syariat
Islam. Sememangnya maksud wasatiyyah di dalam Islam adalah berlegar sekitar
konsep keadilan, kecemerlangan, pilihan terbaik dan perimbangan dalam segala
perkara. Boleh dikatakan perkataan-perkataan ini adalah kata kunci dalam
memahami konsep wasatiyyah dalam Islam. Pendekatan ini jelas diisyaratkan di
dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah, Ayat 143:
وَكَذَٲلِكَ
جَعَلۡنَـٰكُمۡ أُمَّةً۬ وَسَطً۬ا لِّتَڪُونُواْ شُہَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ
ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدً۬اۗ
Yang bermaksud:
“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke
jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang
terpilih lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberikan keterangan
kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah)".
26. Sebab itulah saudara-saudari sekalian, sebagai pendokong
perjuangan suci ini, kita sebagai pejuang UMNO bermanhaj wasatiyyah harus tegas
menentang gejala esktremisme dan militanisme yang ketika ini begitu cepat
mempengaruhi anak-anak muda yang mahukan jalan pintas ke syurga. Kita juga
tidak akan berkompromi dengan mereka yang cuba memesongkan makna wasatiyyah
yang cukup sinonim dengan prinsip kesederhanaan Islam atau moderation dengan
membawa ideologi songsang seperti liberalisme dan sekularisme.
27. Kita juga tidak boleh lagi berada dalam khutub khanah
lama untuk mencari penyelesaian baharu kepada kemelut yang dihadapi oleh umat
Islam hari ini. Kita perlu meneroka ilmu dan kemahiran terkini untuk menangani
cabaran semasa. Bagi saya, di sinilah letaknya peri penting tradisi keilmuan di
dalam UMNO. Seluruh ahli UMNO perlu menambah khazanah ilmu di dada bagi
mendepani cabaran masa kini.
28.Saya fikir budaya membuat laporan polis dan mengangkat
sepanduk dalam menghadapi asakan terhadap akidah dan syariat Islam bukan lagi
jawapan yang tuntas kepada kemelut yang dihadapi oleh ummah. Kita perlu
memperbanyak perbincangan, penerbitan dan wacana mengenai kebebasan dan hak
asasi manusia menurut persepektif Islam dan juga bagaimana Islam menghadapi
tantangan sekularisme. Kita perlu menangani trend sekularisasi dalam agama ini
dengan keteguhan akidah dan ketajaman minda, bukannya diselubungi oleh
ketegaran emosi. Di samping itu, institusi-institusi Islam perlu diperkasa,
penguatkuasaan undang-undang Islam perlu dipertegas dan kerjasama UMNO dengan
NGO-NGO Islam perlu diperkukuh.
Bunga kesidang si bunga tanjung,
Tumbuh di laman mekar berkembang,
Agama dijulang Bangsa dijunjung,
Begitulah UMNO terus berjuang.
Pendidikan Sebagai Wahana Kemajuan dan Perpaduan Nasional
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
29.Kita juga menghadapi cabaran baharu dalam bidang
pendidikan. Peranan pendidikan sebagai wahana untuk bangsa Melayu meningkatkan
taraf sosio ekonomi menjadi lebih penting. Jika dahulu fokus kita dalam bidang
pendidikan ialah untuk meningkatkan kadar enrolmen dan membasmi buta huruf.
Hari ini, sasaran dalam bidang pendidikan telah berganjak kepada melahirkan
tenaga manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Dalam dunia yang
semakin kompetitif hari ini, memiliki kelayakan di peringkat menengah sahaja
tidak memadai.
30.Sebagai parti yang memperjuangkan nasib Bumiputera, UMNO
perlu memberi perhatian secara lebih serius kepada usaha meningkatkan kemahiran
tenaga kerja Bumiputera. Data terkini menunjukkan 64.3% tenaga buruh Bumiputera
mempunyai sijil SPM dan ke bawah. Hanya 27.8% berpendidikan tinggi. Keadaan ini
tidak memberikan kelebihan kepada kaum Bumiputera untuk bersaing dalam pasaran
kerja yang semakin kompetitif. Oleh itu, kita perlu berani berganjak untuk
melihat pendidikan sebagai komponen penting dalam meningkatkan pencapaian
Bumiputera. Di samping memberikan fokus kepada pencapaian di peringkat pengajian
tinggi, kita juga perlu memberi tumpuan kepada bidang latihan teknikal dan
vokasional untuk meningkatkan kemahiran dan daya saing pekerja Bumiputera.
31.Di samping itu, kita jangan lupa peranan pendidikan
sebagai wahana perpaduan dan wahana untuk membina identiti nasional. Kerana itu
saya sering menegaskan kepentingan kita memperkasakan sekolah kebangsaan
sebagai sekolah perpaduan. Jika murid daripada semua kaum dapat belajar di
bawah satu bumbung dengan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa
perpaduan, maka saya yakin perpaduan di negara kita akan menjadi lebih kukuh.
Hari ini, polarisasi kaum masih wujud sebahagiannya kerana politik kebencian
yang dimainkan oleh sesetengah pihak. Sensitiviti kaum tidak dipedulikan,
institusi Raja dimomokkan, malah wujud cabar mencabar antara agama. Saya
percaya, kita boleh mengembalikan kepercayaan antara kaum melalui satu sistem
pendidikan kebangsaan yang memberi keutamaan kepada perpaduan nasional.
32.Matlamat ini boleh kita capai jika kita meletakkan asas-asas
yang kukuh untuk perpaduan dalam sistem pendidikan kita. Ini termasuklah
memperkasa Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan menjadikan perpaduan
nasional sebagai agenda utama semua aliran persekolahan di negara kita,
termasuk di sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama rakyat, sekolah swasta dan
lain-lain. Jangan lagi ada kisah murid yang tidak tahu berbahasa Melayu,
sedangkan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan negara kita. Jangan lagi ada
insiden kenyataan berbaur perkauman dikeluarkan oleh guru atau murid di
sekolah. Jangan lagi ada perasaan prejudis kaum dan agama yang tebal dalam
kalangan rakyat negara kita. Saya fikir, tempoh 57 tahun merdeka sudah cukup
untuk kita hapuskan segala rasa prejudis dan syak wasangka antara kaum. Tinggal
lagi, kita semua, baik parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, gerakan
pendidikan Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain, perlulah ada keikhlasan, ada
kejujuran, dan ada kesungguhan untuk memupuk perpaduan. Jangan kita bercakap
mengenai perpaduan, tetapi pada masa yang sama bertindak menebalkan tembok
pemisahan kaum.
33.Pada hemat saya juga, dalam semangat untuk mengikis sikap
prejudis sesama rakyat, adalah wajar kerajaan mengambil tindakan tegas dalam
membendung kenyataan-kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama
daripada memercikkan api perbalahan. Adalah lebih baik kita mencegah daripada
nantinya terpaksa merawat luka permusuhan yang parah. Kerana itu saya telah
menyatakan pendirian saya mengenai Akta Hasutan. Bagi saya, Akta ini wajar
dikekalkan dengan beberapa penambahbaikan. Peruntukan khusus perlu dimasukkan
untuk melarang mana-mana pihak daripada mempersoalkan jaminan perlembagaan
mengenai kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan. Akta ini juga perlu
menghalang mana-mana pihak daripada mempersoalkan hak penganut agama lain untuk
mengamalkan kepercayaan agama masing-masing. Begitu juga dengan kedudukan tanah
rezab Melayu dan Regimen Askar Melayu DiRaja yang merupakan sebahagian daripada
wasiat Raja-Raja Melayu perlu dilindungi daripada perbuatan menghasut. Apa yang
penting ialah kita perlu melihat Akta Hasutan bukan sebagai akta yang hanya
melindungi kepentingan orang Melayu, tetapi akta yang memelihara perpaduan dan
keharmonian nasional.
PERSEPSI ORANG MUDA TERHADAP UMNO
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
34.Hari ini, parti kita sedang menyongsong perubahan.
Sebagai parti yang memperjuangkan kemerdekaan, UMNO telah banyak berjasa kepada
orang Melayu dan rakyat Malaysia.Tiada siapa yang boleh menafikan sumbangan
UMNO kepada agama, bangsa dan tanah air. Tetapi, survival parti kita pada masa
hadapan tidak boleh bergantung semata-mata kepada rekod sumbangan kita pada
masa lalu. Rakyat, khususnya orang Melayu, ingin melihat apa sumbangan UMNO
kepada mereka dalam mengharungi cabaran masa hadapan yang lebih getir. Untuk
itu, kita perlu mempersiapkan UMNO untuk menjadi parti masa hadapan, parti
harapan umat Melayu, parti idaman generasi muda Melayu dan parti yang sesuai
dengan dinamika politik nasional.
35.Terus terang saya katakan saya agak bimbang melihat
perkembangan hari ini. UMNO masih bertahan di kampung-kampung, tetapi semakin
hilang sokongan masyarakat bandar yang lebih terbuka, lebih terdedah kepada
pelbagai maklumat dan lebih sofistikated dari segi pemikiran, nilai dan cara hidup.
Dalam pilihanraya umum yang lalu, UMNO kalah di kebanyakan kawasan bandar
majoriti Melayu. Kita kalah di Shah Alam, Ampang, Lembah Pantai, Bangi,
Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan banyak kawasan lain yang suatu ketika
dahulu merupakan kubu kuat UMNO. Kita juga kalah teruk di Selangor yang
merupakan negeri termaju di Malaysia.
36.Dalam rangka menyediakan ucapan saya pada malam ini, saya
mendapatkan pandangan pemuda dan pemudi Melayu mengenai UMNO. Mereka terdiri
daripada graduan muda, golongan profesional, aktivis masyarakat, usahawan dan
ahli akademik. Bagi saya, pandangan orang muda terhadap UMNO adalah penting
dalam menentukan survival UMNO. Orang muda merupakan pewaris perjuangan parti
kita, dan pandangan mereka tentang UMNO akan menentukan jatuh bangunnya UMNO
pada masa hadapan.
37.Saya bertanya kepada mereka apa persepsi mereka terhadap
UMNO? Apa aspirasi mereka? Apa harapan mereka? Apa kebimbangan mereka? Apa
perkara penting yang hendak disampaikan kepada UMNO? Saya minta supaya mereka bercakap
secara jujur, ikhlas dan terbuka. Saya ingin tahu apa yang perlu UMNO lakukan
supaya anak-anak muda di luar sana ghairah untuk berada bersama-sama kita dalam
saf perjuangan UMNO.
38.Izinkan saya berkongsi pandangan mereka dengan saudara
dan saudari pada malam ini. Pertama, mereka kata UMNO sedang mengalami trust
deficit atau defisit kepercayaan; kedua, UMNO ini parti feudal; ketiga, dalam
UMNO ada budaya play safe dan budaya pak turut; keempat, UMNO dikuasai oleh
warlord; dan kelima, UMNO diancam oleh budaya ugut dan budaya tabur. Ini kata
mereka.
39.Mereka menjelaskan satu persatu kepada saya apa yang
mereka maksudkan dengan kelima-lima perkara ini. Mengenai defisit kepercayaan,
mereka beritahu saya mereka sebenarnya sokong perjuangan UMNO. Mereka sayang
kepada UMNO. Bagi mereka tidak ada parti lain yang boleh diharapkan untuk
mempertahankan agama, bangsa dan tanah air melainkan UMNO. Cumanya, mereka
ingin melihat pemimpin UMNO di setiap peringkat lebih berintegriti, lebih
amanah, lebih jujur, lebih telus, tidak terpalit dengan gejala rasuah, tidak
menonjolkan kemewahan yang berlebihan, tidak bergaduh sesama sendiri dan
sebagainya. Jika ini boleh dilakukan, maka orang muda akan percaya semula
kepada UMNO.
40.Mereka juga tidak mahu UMNO terlalu terikat dengan
hirerki hingga mewujudkan gambaran parti kita menjadi parti feudal sehingga
orang bawah tidak boleh bersuara selagi orang atas tidak bersuara. Sehinggakan
hendak beri pandangan pun kena tengok apa orang atas kata. Kalau orang atas
kata A, maka yang di bawah mesti kata A. Kalau orang atas kata B, yang di bawah
pun mesti kata B.
41.Menurut mereka lagi, orang muda dalam UMNO mempunyai
idea-idea yang bernas tetapi merasakan lebih baik diam daripada bercanggah
pandangan dengan orang atas. Ada yang kata kalau bercakap lebih sedikit nanti
dianggap hendak memandai. Ada pula yang beri nasihat orang muda mesti
berhati-hati dalam politik. Jangan terlalu menonjol. Jangan terlalu laju. Nanti
kena sekat, nanti kena cantas, kena kerat, kena sabo, kena cah keting, kena
terajang dan lain-lain lagi. Jadi, lama-kelamaan mereka fikir lebih baik diam
daripada bercakap, atau lebih selamat jadi pak turut saja. Seolahnya ada satu
budaya play safe, atau budaya pilih jalan selamat dalam UMNO.
42.Akibatnya, dalam UMNO, lebih ramai orang memilih untuk
berdiam diri daripada bercakap. Ini mewujudkan persepsi bahawa parti kita
sedang dilanda budaya kelesuan. Akhirnya, orang Melayu dan rakyat
tertanya-tanya di mana suara keramat UMNO? Di mana taring Pemuda? Di mana
ketegasan Wanita? Di mana kelantangan Puteri? Kesannya, kita seolahnya
ketandusan pemimpin untuk menjuarai kepentingan orang Melayu. Sehinggakan
timbul cakap-cakap di luar sana yang mengatakan NGO Melayu lebih lantang
daripada UMNO dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu.
43.Bagi saya, kita perlu membuktikan bahawa UMNO bukannya
sebuah parti yang lesu. UMNO bukannya parti yang mempunyai budaya pak turut,
budaya nyanyi, budaya puji, budaya lambung, budaya ampu sana ampu sini. UMNO
adalah parti yang berwibawa, parti yang ada idealisme, parti yang ada masa
depan, parti pilihan anak-anak muda. Ingatlah, orang muda hari ini tidak suka
jadi pak turut. Mereka naik geli dengan budaya ampu. Mereka benci budaya sabo.
Mereka tolak budaya cah keting. Jika kita boleh buang semua budaya negatif ini
jauh-jauh, saya yakin UMNO akan menjadi parti pilihan orang muda.
44.Satu lagi ialah budaya warlord. Ramai yang beritahu saya
dalam UMNO ada banyak warlord. Mereka ini amat berkuasa kerana mempunyai ramai
pengikut setia yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mereka. Dengan sokongan
pengikut, warlord akan mengugut pemimpin atasan parti untuk berikan apa sahaja
yang mereka minta. Jika tak diberi, mereka akan sabo parti dalam pilihan raya.
45.Kita perlu buktikan bahawa warlord bukan sebahagian
daripada budaya UMNO. Kita menolak sikap sekalangan yang cuba untuk kekal
berkuasa dengan menabur kemewahan kepada pengikut. Sehinggakan ada yang kata
tak payah buat kerja dalam UMNO. Yang perlu dibuat ialah kumpul kekayaan untuk
tabur kemewahan kepada pengikut supaya mereka sentiasa setia. Keadaan ini
menyebabkan kos politik menjadi semakin mahal. Yang tiada wang tidak boleh
masuk politik. Walaupun ada bakat, ada kelulusan, ada kebolehan, mereka tak
mampu untuk bergerak aktif dalam parti jika tiada wang. Saya bimbang, akhirnya
nanti yang naik dalam hirerki parti adalah orang yang ada wang, bukan orang
yang ada kebolehan. Orang kata money is everything in politics. No money, no talk.
Seolahnya, wang adalah kuasa, wang adalah segala-galanya.
46.Saya kadang kala terfikir adakah sudah tidak ada
keikhlasan dan kejujuran dalam perjuangan? Adakah sudah tidak ada nilai
pengorbanan dalam politik? Adakah pengikut menilai pemimpin semata-mata
berdasarkan kemampuan mereka untuk tabur kemewahan? Adakah pemimpin mengukur
kesetiaan pengikut berdasarkan harga yang mereka bayar? Bagi saya, budaya ugut
dan tabur ini amat bahaya kepada parti kita. Budaya ini akan menyebabkan
politik wang berleluasa di dalam parti. Pengikut yang terima wang akan suka.
Mereka puji pemimpin yang boleh beri sesuatu kepada mereka. Tetapi jangan kita
lupa. Rakyat di luar sana tak suka politik wang. Mereka curiga bila lihat orang
politik hidup mewah. Tak setimpal dengan pendapatan. Apatah lagi jika ada yang
suka menunjuk-nunjuk kemewahan. Rakyat akan mula menuduh bermacam perkara yang
tidak baik terhadap parti kita. Inilah punca masalah trust deficit atau defisit
kepercayaan terhadap UMNO. Jadi, ingatlah. Apa guna kita naik dalam hirerki
parti, tetapi rakyat menolak parti kita kerana mereka tidak suka dengan imej
dan sikap kita.
47.Apa yang saya sebutkan ini adalah persepsi dan kritikan
orang muda terhadap UMNO. Barangkali ada yang betul, ada juga yang kurang
tepat. Tetapi mengambil yang baik daripada kritikan ini adalah lebih afdal. Ini
membuktikan bahawa UMNO adalah parti yang terbuka dan kita sentiasa
bermuhasabah. Sepertimana firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Zumar Ayat 18:
ٱلَّذِينَ
يَسۡتَمِعُونَ ٱلۡقَوۡلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحۡسَنَهُ ۥۤۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ
ٱلَّذِينَ هَدَٮٰهُمُ ٱللَّهُۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ
هُمۡ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ
Yang bermaksud:
Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai
kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi
hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah
dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.
HARAPAN ORANG MUDA TERHADAP UMNO
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
48.Sebenarnya, orang muda dan umat Melayu seluruhnya menaruh
harapan yang tinggi kepada UMNO. Mereka tidak menolak perjuangan UMNO. Mereka
mahu supaya pemimpin UMNO tegas memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam,
tetapi pada masa yang sama tidak dilihat terlalu ekstrem perkauman atau terlalu
liberal. Mereka percaya bahawa dalam sebuah masyarakat pelbagai kaum, UMNO
perlu bersikap adil terhadap kaum-kaum lain, tetapi tidaklah sampai
menggadaikan asas dan prinsip perjuangan UMNO. Pendek kata, orang muda mahu
UMNO terus menjadi parti yang sederhana, parti yang berjaya mengekalkan
keseimbangan dalam hubungan kaum dan agama. Apa yang penting ialah pemimpin
UMNO mesti dilihat lebih ikhlas, lebih jujur, lebih telus, lebih adil dan lebih
berwibawa dalam menggalas perjuangan parti.
49.Saya fikir orang muda mempunyai pemikiran yang agak
kritis. Apabila ada perkara yang dilihat tidak cocok dengan idealisme mereka,
maka mereka akan mengkritik.Tetapi itulah lumrah orang muda. Itulah juga
kekuatan orang muda. Mereka yakin dengan idealisme mereka dan berani
memperkatakan apa yang mereka fikir benar. Mereka ada courage – iaitu
keberanian - dan ada conviction - yakni keyakinan yang teguh dengan apa yang
mereka fikirkan benar. Kedua-dua sifat inilah yang menjadikan orang muda ada
kewibawaan, ada ketokohan, ada keupayaan untuk memimpin.
50.Jadi, dalam proses untuk melengkapkan perubahan dan
peremajaan UMNO, untuk menjadikan UMNO sebagai parti harapan orang muda, parti
idaman, parti masa depan, saya mencadangkan 7 langkah pembaharuan yang perlu
kita laksanakan segera:
Pertama, UMNO perlu melahirkan pemimpin muda yang berwibawa
dan menjadi peneraju pemikiran (opinion leader) di dalam masyarakat. Garap
idealisme orang muda. Galakkan budaya berfikir dan bersuara dalam UMNO. Pemimpin
muda yang ada idealisme, ada wibawa dan berani bersuara perlu diketengahkan
untuk menjuarai isu-isu rakyat, menjadi jurucakap parti, bukan diketepikan oleh
parti;
Kedua, UMNO perlu melakukan pencarian bakat. Kita perlu
menyediakan platform untuk orang muda daripada golongan profesional,
intelektual, agamawan, aktivis sosial dan lain-lain yang diterima oleh
masyarakat untuk bergerak aktif dalam UMNO. Paltform ini perlu diwujudkan di
peringkat pusat, negeri dan bahagian. Contohnya, mereka yang berbakat boleh
dilantik ke unit-unit tertentu di dalam parti dan diberi peranan untuk
menyumbang kepada parti. Kita juga perlu ketengahkan mereka yang berbakat dan
berkaliber untuk menjadi calon dalam pilihanraya. Mereka ini tidak semestinya
berjawatan tinggi dalam parti. Pengalaman kita dalam pilihanraya kecil
Pengkalan Kubor dan Kuala Besut menunjukkan calon yang tidak berjawatan tinggi
di peringkat bahagian boleh menang kerana mereka diterima oleh rakyat;
Ketiga, wujudkan modul pengkaderan dan pentarbiyahan yang
tersusun untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda UMNO yang bijak, petah dan
tangkas berhujjah serta teguh daya rohaninya. Kita perlu membentuk UMNO dengan
kalangan ahlinya yang punya kekentalan semangat serta menghayati prinsip dan
matlamat perjuangan parti yang sebenar. Beri mereka kekuatan untuk mengolah
perjuangan UMNO yang lebih segar dalam konteks cabaran semasa. Jadikan mereka
kumpulan pemikir muda di dalam UMNO.
Keempat, semarakkan semangat kesukarelawanan melalui
program-program bersama rakyat. Pecahkan tembok pemisah antara parti dan rakyat
menerusi kerja-kerja sukarela. Dekati rakyat, dengar rintihan mereka, fahami
masalah mereka. Tanya diri kita, berapa ramai daripada kita yang sentiasa
mendekati rakyat dan disayangi oleh rakyat. Manfaatkan sepenuhnya teknologi
maklumat, khususnya media sosial, untuk sentiasa mendekati dan memenangi hati
golongan muda;
Kelima, wujudkan institusi naziran di dalam UMNO untuk
memantau setiap Bahagian dan Cawangan. Satu Jabatan Naziran perlu diwujudkan di
dalam UMNO untuk pastikan semua pemimpin di peringkat Majlis Tertinggi, sayap,
negeri, bahagian dan akar umbi buat kerja. Bahagian ini bertanggungjawab untuk
melaporkan kepada Jawatankuasa Pengurusan UMNO dan Majlis Tertinggi mengenai
keberkesanan program-program yang dilaksanakan oleh parti;
Keenam, gerakkan revolusi mental yang baharu dalam UMNO dan
bangsa Melayu seperti yang pernah digarap oleh Allahyarham Datuk Senu Abdul
Rahman. Mungkin kita boleh namakan Revolusi Mental 2.0. Cerna idea, pemikiran
dan kaedah baharu untuk menangani cabaran perubahan zaman dalam bidang ekonomi,
politik, agama, hubungan kaum, teknologi dan lain-lain. Sepertimana yang
diungkapkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dalam pendahuluan buku Revolusi
Mental, antara sebab kemunduran bangsa Melayu ialah pemikiran yang
terkebelakang yang disebabkan oleh kekurangan ilmu dan cara hidup yang lama.
Justeru, UMNO perlu berani menerajui perubahan pemikiran, budaya dan sikap
bangsa Melayu untuk menempa kemajuan. Pada masa yang sama, hadapi dengan bijaksana
kemunculan pelbagai tantangan yang cuba menggoyahkan prinsip perjuangan UMNO
untuk bangsa Melayu sebagai bangsa teras di Malaysia. Yang penting, jadikan
prinsip perjuangan UMNO relevan sepanjang masa; dan
Ketujuh, bangkitkan gerakan kesedaran nilai undi dalam
kalangan masyarakat Melayu. Gerakan pendaftaran pengundi baharu mesti dibuat
dengan lebih bersungguh-sungguh. Jangan buat sambil lewa. Jangan buat sekadar
melepas batuk di tangga kata orang. Jangan sampai kegagalan kita menambah
bilangan pengundi Melayu menyebabkan kaum Melayu yang merupakan kaum majoriti
menjadi golongan minoriti dalam pilihanraya. Sasaran gerakan ini wajib dimulai
dengan memastikan semua ahli UMNO yang layak mengundi didaftarkan sebagai
pengundi.
MEREKAYASA PERUBAHAN
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
51.Bagi saya, UMNO mesti melakukan perubahan yang drastik
jika ingin kekal relevan dengan peredaran masa. Pendekatan dan gerak kerja UMNO
hari ini sedang dipintas oleh gerakan yang lebih canggih dan sesuai dengan
selera masa kini. Lebih-lebih lagi, jika UMNO ingin menjadi parti masa hadapan,
maka citra UMNO mestilah cocok dengan jiwa anak-anak muda Melayu, golongan
profesional Melayu dan tidak lupa seluruh generasi muda yang berada di desa
mahupun di kota. Mereka adalah pewaris perjuangan parti kita.
52.Untuk itu, UMNO memerlukan suntikan tenaga muda sama ada
di kalangan wanita dan lelaki, yang berkebolehan dan berkelayakan untuk
memimpin parti. Orang lama mesti beri laluan kepada orang muda. Lebih-lebih
lagi jika kita menjadi liabiliti kepada parti, kita harus segera berundur
secara terhormat. Kita telah lama bercakap mengenai peremajaan UMNO, tetapi
tanyalah diri kita apakah proses ini benar-benar berlaku di dalam parti.
53.Kita tidak ada banyak masa untuk menunggu perubahan
berlaku. Kita perlu merekayasa perubahan. If change does not happen, we have to
engineer the change. Justeru pada hemat saya, wajar untuk kita pertimbangkan
pemilihan parti dilaksanakan mengikut kehendak Perlembagaan UMNO dan tidak
ditangguhkan selepas pilihanraya umum seperti yang pernah dibuat sebelum ini.
Saya juga mencadangkan pindaan Perlembagaan UMNO diadakan tahun hadapan dengan
memperuntukkan pindaan yang sesuai untuk membolehkan barisan pelapis muda
menyumbang peranan dan khidmat bakti yang lebih besar kepada UMNO. Saya percaya
UMNO tidak akan berpecah sekiranya pemilihan diadakan. Pemimpin UMNO tentunya
cukup matang untuk menghadapinya. Saya sendiri akan sentiasa berdiri
bersama-sama YAB Presiden untuk merealisasikan perubahan dan peremajaan parti
kita.
54.Ini adalah seruan terakhir untuk UMNO. Do or be dead!
Jangan letak kepentingan diri melebihi kepentingan parti. Saya ingin
mengingatkan diri saya sendiri dan pemimpin UMNO di semua peringkat, jika kita
menjadi batu penghalang kepada peremajaan parti, maka kita mesti berundur
secara terhormat. Parti kita mesti kekal relevan supaya bangsa Melayu terus
terbela. Diri kita tidak penting. Yang penting ialah bangsa Melayu dan UMNO.
Ingatlah, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri
mengubah apa yang ada dalam dirinya. Sepertimana firman Allah s.w.t. dalam
Surah Al-Ra’du Ayat 11:
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ
مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا
بِأَنفُسِہِمۡۗ
55.Jangan kita lupa akan seruan YAB Presiden. Di Dewan
Merdeka ini jugalah semasa merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri
UMNO tahun 2008, Presiden dengan jelas menuntut agar kita berubah untuk
kepentingan rakyat. Saya petik kata-kata Presiden. “Berubah dari sikap-sikap
mazmumah kepada sikap-sikap mahmudah. Berubah daripada kurang mesra kepada
mesra, daripada mementingkan diri kepada mementingkan rakyat, daripada malas
kepada rajin kerja, berubah daripada kurang berkhidmat kepada suka berkhidmat.
Berubahlah, jika tidak, kita rebah”. Soalnya, apakah kita mengambil serius
gesaan YAB Presiden ini? Atau, adakah ia ibarat masuk telinga kanan keluar
telinga kiri?
56.Saudara-saudari, kita mesti memperbetulkan segera segala
kesilapan kita dan melakukan perubahan demi kelangsungan agama dan bangsa kita.
Amatilah betul-betul peringatan Allah s.w.t. sebagaimana firmanNya dalam surah
Al-An’am Ayat 6:
أَلَمْ
يَرَوْا كَمْ أَهْلَكْنَا مِنْ
قَبْلِهِمْ مِنْ قَرْنٍ مَكَّنَّاهُمْ
فِي الْأَرْضِ مَا لَمْ نُمَكِّنْ
لَكُمْ وَأَرْسَلْنَا السَّمَاءَ عَلَيْهِمْ مِدْرَارًا وَجَعَلْنَا الْأَنْهَارَ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمْ
فَأَهْلَكْنَاهُمْ بِذُنُوبِهِمْ وَأَنْشَأْنَا مِنْ بَعْدِهِمْ قَرْنًا
آخَرِينَ
Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak
umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu)
telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan
kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu dan Kami turunkan hujan atas
mereka dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka,
kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka dan Kami ciptakan
sesudah mereka, umat yang lain?
PENUTUP
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
57.Zaman untuk dipuja dan dipuji dalam kelompok sendiri
sudah berlalu. Ini adalah zaman untuk kita bersama-sama masyarakat, merasai
keresahan mereka, berusaha mencari penyelesaian kepada permasalahan yang mereka
alami. Ini zaman untuk kita meraih keyakinan rakyat, zaman untuk kita memimpin
bangsa mengharungi cabaran yang semakin hebat. Hormat rakyat bukan sesuatu yang
boleh dipaksa. Berusaha, berkhidmatlah kepada rakyat bagi mendapatkan hormat
mereka kepada kita. UMNO adalah parti massa yang lahir daripada kebangkitan
rakyat yang mempunyai matlamat dan arah tuju yang jelas. UMNO terbina demi masa
depan umat Melayu dan negara. UMNO bukan parti yang lahir daripada rasa benci,
tetapi penuh dengan rasa kasih dan sayang demi kesejahteraan rakyat. UMNO
adalah parti yang sarat dengan harapan untuk masa depan bangsa dan negara. Binalah
keyakinan, tunjukkanlah keazaman, hamparkanlah harapan kepada bangsa Melayu dan
rakyat Malaysia seluruhnya bahawa parti ini adalah pilihan terbaik buat mereka.
59.Kepada umat Melayu dan Bumiputera yang sedang menekuni
ucapan saya ini samada yang berada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bersatulah
kita atas nama kewatanan dan kecintaan kepada negara. Kita sudah tiada masa
untuk bertelingkah atau berbenci antara satu sama lain. Kepada seluruh rakyat
tanpa batas kaum dan fahaman, marilah kita menolak gerakan meracuni dan
membenci sesama kita. Jangan kita biarkan negara ini runtuh hanya kerana
umpan-umpan yang dilontarkan kepada kita oleh pihak luar.
60.Buat Wanita, bangunlah dengan istiqamah perjuangan.
Hulurkan salam jemputan buat wanita Melayu dari segenap ceruk rantau dan latar
belakang--guru wanita, ustazah, peguam, doktor, pegawai profesional hatta NGO
wanita dan ibu-ibu tunggal-- marilah bersama-sama sebaris dengan kita dalam
perjuangan ini. Buat Pemuda, bangkitlah dengan bara perjuangan. Beranikan diri
berada di mana sahaja bila panggilan untuk berkorban masa dan tenaga. Bawalah
golongan muda yang dahagakan kebersamaan dan interaksi. Berikan mereka harapan.
Buat Puteri, bangkitlah dengan semangat baharu yang segar membawa pemudi dan
wirawati negara meyakini perjuangan kita. Tanamkan benih kasih kepada mereka,
nescaya mekarlah nanti dengan rimbunan pendokong.
61.Harapan saya kepada seluruh bangsa Melayu, renunglah
nasib masa depan bangsa kita. Hargai sejarah perjuangan bangsa di masa lalu,
perjuangan yang meletakkan kita di sini hari ini. Bangkitlah bersama-sama UMNO
untuk merencana masa depan bangsa kita agar tidak hilang ditelan zaman, agar
terus tegar mendepani cabaran. Saya percaya, dengan kekuatan tekad dan keazaman
kita semua, dengan limpahan rahmat dan inayah Allah s.w.t, UMNO akan beroleh
kekuatan dan keyakinan untuk melakukan perubahan dan pembaharuan, dan
seterusnya mara membela agama, bangsa dan negara kita.
Gagahnya pahlawan dahulukala,
Menjadi tauladan sepanjang zaman,
Kalian tinggalkan warisan bangsa,
Untuk kita teruskan perjuangan.
Hidup Melayu! Hidup Melayu! Hidup Melayu!
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya dengan
sukacitanya merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2014.
No comments:
Post a Comment